Sunday 13 January 2013

Tiga Peringkat Dalam Teknik Beladiri


Setiap seni beladiri mempunyai buah-buah, teknik, konsep, falsafah yang berbeza namun apa yang saya perhatiakan dan lalui dalam pengalaman belajar seni beladiri dapat saya kategorikan kepada 3 peringkat yang setiap ahli seni beladiri akan belajar.

Setiap peringkat adalah berbeza tetapi ianya berkaitan antara satu sama lain sebagai contohnya kita perlu belajar mengenal huruf dulu A hingga Z barulah boleh membina ayat dan seterusnya menulis sebuah karangan jadi itulah maksud saya dalam peringkat seni beladiri yang saling berkaitan antara setiap peringkat.

Sepanjang pengalaman saya belajar silat ada 3 peringkat yang perlu dipelajari oleh setiap ahli bagi melangkapkan sesuatu buah pukulan. Antara 3 peringkat itu ialah peringkat asas, peringkat jatuh dan peringkat potong. Mungkin peringkat ini tidak sama antara satu sama lain tetapi bagi pendapat saya 3 peringkat ini perlu dikuasai oleh pengamal seni beladiri.



Peringkat pertama iaitu peringkat asas adalah peringkat dimana ahli akan diajarkan cara menunggu serangan, menumbuk, menepis tumbukan dan melakukan buah asas. Perkara pertama sekali diajar ialah cara menumbuk dan menunggu serangan, dimana teknik menumbuk berbeza antara satu sama lain. Kemudian teknik menunggu serangan adakah menggunakan kuda-kuda atau tidak ianya bergantung kepada jenis beladiri yang dipelajari. Setelah dapat menguasai cara menumbuk dan menunggu serangan, maka akan diajarkan pula cara menepis tumbukan yang datang dari pelbagai arah iaitu bahagian muka, dada dan penyawa ( alat sulit ).

Buah-buah asas akan diajarkan dimana bilangan buah ini berbeza antara satu sama lain yang mana ianya menggunakan kaedah menepis tumbukan yang berbeza-beza. Buah-buah ini hanyalah sekadar menepis tumbukan lalu disambung dengan pemakan ( serangan balas kaki atau tangan ).

Peringkat kedua iaitu peringkat jatuh dimana kita akan menjatuhkan musuh lalu mengunci atau melakukan pukulan penamat. Setiap buah mempunyai cara menjatuhkan musuh yang berbeza iaitu samada menggunakan kaki atau tangan tetapi kebiasaannya menggunakan kaki. Biasanya penggunaan kaki dalam teknik menjatuhkan lawan adalah dengan menekan pelipat atau mengais kaki kawan sehingga terjatuh dan setelah itu barulah dibuat kuncian. Pada peringkat ini musuh tidak mampu untuk melawan kembali disebabkan telah terkena tumbukan, sepakan dan badan dihempaskan ke tanah samada ke hadapan atau ke belakang.

Peringkat ketiga ialah peringkat potong dimana kita sebagai pengamal seni beladiri akan memotong buah yang dilakukan apabila serangan dibuat kepada musuh. Ini bermakna kita akan memenangi pergaduhan walaupun kita yang menyerang dahulu. Pada peringkat ini tahap kemahiran dan ketangakan sangat penting kerana kalau silap langkah kita yang akan kalah. Sebelum boleh sampai ke peringkat ini ahli perlu menguasai terlebih dahulu setiap kaedah dan buah-buah pukulan barulah boleh mahir dalam memotong buah-buah yang lain.

Tiga peringkat ini adalah asas dalam proses bagi satu buah terbentuk iaitu dari menepis, memakan, menjatuhkan dan mengunci. Biasanya dalam buah-buah sudah termasuk proses ini menjadikan buah-buah dari lengkap dari mulanya berdiri dan akhirnya jatuh ke bawah dengan kuncian yang sukar dilepaskan.

Inilah secara ringkasnya 3 peringkat dalam pembentukan sesuatu buah pukulan dan teknik beladiri yang akan anda pelajari nanti. Penguasaan setiap peringkat sangat penting dan berkaitan maka mahirkan dahulu peringat asas barulah boleh beralih ke peringkat seterusnya.







No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...